Tuesday, March 16, 2010

SAHABAT





Siapakah yang dikatakan sahabat? Adakah perlu dia kaya dan segak? Apakah perlu dia pandai mengambil hati? Mestikah dia tidak mementingkan diri sendiri? Atau.. Sahabat ialah orang yang sekepala dengan sahabatnya? Satu hala tuju dan matlamat yang selari?

Mestikah dia mengetahui kegemaran sahabatnya? Atau.. Adakah orang yang dapat gembira suka dan duka bersama? Membantu bila sahabatnya kesusahan? Atau.. Seorang sahabat ialah orang yang menjaga sahabatnya dari kemurkaan Allah? Dia menegur apabila sahabatnya lupa.. Pastinya dia orang yang menyayangi sahabatnya seperti menyayangi dirinya..

Kenapa mesti kita bersahabat???

1. Sebagai seorang manusia kita tidak dapat hidup bersendirian, kerana manusia dengan sifat kurniaan Allah itu saling perlu memerukan. Ibaratnya tidak ada diciptakan juga daripada golongan Adam sahaja tetapi diciptakan juga dari golongan Hawa. Kerana sudah menjadi fitrah manusia memerlukan teman..

2. Sahabat adalah cermin diri kita. Jka kita bersahabat dengan orang jahat,maka kita pasti dicerminkan sedemikian. Jika bersahabat dengan orang yang soleh, maka kita juga pasti dicerminkan sedemikian. Oleh yang demikian, pilihlah siapa sahabatmu..

3. Islam menganjurkan umatnya supaya memilih sahabat yang baik. Pilih sahabat yang baik seumpama jika kita berkawan dengan pelebur besi, maka kita pasti mendapat percikan api. Tapi jika berkawan dengan penjual haruman, maka kita pasti berbau harumannya.. Dan pohonlah kepada Allah supaya Allah mengurniakan kita sahabat yang boleh membawa kita untuk mendapat keredhaanNYA...

Friday, March 12, 2010

AKU PERLUKAN KEKUATAN...


Ya Allahu Ya Aziz,
Aku hambamu yang lemah,
Hati ini memerlukan kekuatan,
Untuk menghadapi sisa-sisa hidup,
Yang sukar dibatasi,
Kerna kemodenan arus duniawi,
Yang semakin hapus kearah ukhrawi.


Ya Allahu Ya Malik,
Pohon ku di dunia ini,
Kuatkan semangat hambamu yang beriman,
Dalam mengatur langkah di dunia ini,
Agar mereka menjadi contoh,
Teladan kepada setiap insan,
Yang menghampiri kelalaian terhadapMu.


Ya Allahu Ya Qahhar,
Kuatkan hati setiap muslim didunia ini,
Teguhkanlah iman mereka,
Agar mereka terus menerus memujiMu,
Izinkan mereka mendapat hidayahMu,
Sebenar-benar hidayah.
Penuhilah hati para muslim,
Dengan limpahan hidayah mu yang agung,
Agar mereka dapat memujiMu Ya Allah.


Ya Allahu Ya Hafiz,
Peliharalah hati kami ini,
Agar tidak dilimpahi dengan maksiat,
Peliharalah hati kami dari segala noda dunia,
Limpahilah hati kami dengan iman,
Peliharalah kami dari kesesatan dunia,
Yang dipenuhi segala mara bahaya.


Ya Allahu Ya Mujib,
Kabulkanlah permintaan hambaMu ini,
Agar kami semua dilimpahi nur iman Mu,
Pimpinlah kami kejalan yang diredhaiMu.
Isikan hati kami dengan kebaikan agamaMu,
Lembutkan lidah kami untuk memujiMu,
Indahkanlah mata kami melihat ciptaanMu,
Maniskan mulut kami ketika menikmati rezekiMu,
Gagahkanlah kaki kami ketika berjalan untuk keredhaanMu,
Merdukanlah telinga kami ketika mendengar ayat-ayatMu,
Sinarilah kehidupan kami dengan nur iman Mu,
Bersihkan hati kami untuk menggapai redhaMu.
Berilah kekuatan untuk hambaMu ini,
Untuk meneruskan perjuangan ini,
Demi kemuliaan agamaMu Ya Allah


.Nota:Makna Nama Allah SWT:
1. Ya Aziz : Maha mulia/perkasa
2. Ya Malik : Maha merajai/pemerintah
3. Ya Qahhar : Maha menundukkan
4. Ya Hafiz : Maha pelindung
5. Ya Mujib : Maha mengabulkan

BUATMU SAHABAT..

Titisan Mutiara Terindah

Menangislah sahabat,
Kerna air mata adalah bicara yang terindah.

Air mata terindah lahir,
Bilamana kamu terpisah dengan kemaksiatan,
Bilamana kamu bertaubat dengan jiwa penyesalan,
Tika dirimu mengusir kawan-kawan yang buruk perangai,
Tatkala itu kamu pasti merasakan titisan air hangat dipipimu.

Dan Bilamana dirimu meraih tangan,
Insan bergelar sahabat,
Tanpa dirimu sedari pipi dibasahi,
Butiran mutiara yang sangat indah.


Bilamana tercipta satu pertemuan,
Dan Terungkai segala isi hati,
Terungkap sebuah jalinan persahabatan,
Tapi tibanya saat perpisahan,
Detik ini pasti akan terjadi,
Titisan hangat pasti akan menemani diri,
Kerna pertemuan dan perpisahan adalah lumrah alam.

Bertemu dan berpisah kerana Allah,
Bisa melahirkan rantai-rantai perjuangan,
Pergimu menyebarkan wangian jannah,
Moga dunia ini akan berbau haruman syurga.

Tetapi sedarlah sahabat,
Saat dirimu menghadap Rabbul Izzah,
Mutiara indah yang hadir menemani dirimu tika itu,
Itulah air mata yang paling bernilai,
Ia bisa menjadi perisai untukmu.

Sahabat andai dirimu dahagakan kasih dan cinta,
Dambalah cinta dan kasih Yang Satu.

Saturday, March 6, 2010

PANDUAN KHUSYUK SOLAT..


Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang


1. Memakai pakaian yang bersih dan suci lagi kemas serta bau-bauan yang diharuskan dan sentiasa sembahyang di awal waktu kecuali jika ada sesuatu majlis atau keuzuran.

2. Tidak memandang ke kiri atau ke kanan sebaliknya terus memandang ke tempat sujud
Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang Maha Melihat setiap gerak-geri kita.


3. Menumpukkan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan dalam sembahyang.


4. Membanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin.


5. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau persekitaran sembahyang.


6. Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al Quran, zikir dan tasbih.


7. Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air merata pada semua bahagian anggota yang wajib dan membaca doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota tersebut.


8. Membaca surah An-Nas, selawat ke atas Rasulullah SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan sebelum takbir.


9.Tidak menahan diri dari membuang air kecil atau air besar sebelum sembahyang sebaliknya hendaklah ditunaikan hajat itu .


10. Menjaga makan dan minum dan memastikan sumbernya dari yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang haram dan syubahat.

11. Memastikan di bahagian hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang boleh menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu.


12. Banyak mengingati mati dan menganggap sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir dalam hidupnya.


13. Menyedari hakikat yang ianya sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui akan segala rahsia hambanya .


14. Memusatkan seluruh ingatan dan tumpuan pada sembahyang serta melambatkan bacaan
tasbih.

SELAMAT BERAMAL!!SEMOGA AMAL IBADAT KITA DIPANDANG OLEH ALLAH

Tuesday, March 2, 2010

JAGA 7 SUNNAH RASULULLAH S.A.W..

"Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup. Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT.
Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan. Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:
Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.
Kedua: membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.
Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.
Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.
Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.
Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".
Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.
Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.

Monday, March 1, 2010

TULUSKAN LAFAZ ISTIGHFAR SEBELUM TIDUR..

Sebagai hamba Allah yang banyak dosa dan kesalahan kepada Allah s.w.t dan sesama manusia, Islam menganjurkan umatnya supaya banyak beristighfar dan bertaubat pada setiap masa dan ketika. Itulah di antara kewajipan setiap muslim dan muslimah yang sama sekali tidak boleh ditangguh dan dilengahkan.
Di dalam gundah mendepani kabut dosa, seorang mukmin juga penuh harap dan amat optimis dengan janji siraman rahmat dan limpahan keampunan Allah s.w.t. Rasa khauf (takut) dan raja' (harap) bersilih ganti menyinari relung hatinya.
Sungguh, rahmat dan keampunan Allah itu amat luas sekali.Tetapi bertepi seluas langit dan bumi.Maka, dambalah kemaafan Allah yang maha menerima taubat hamba-hamba-Nya. Sekali-kali Allah tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang benar-benar ingin 'kembali' pada-Nya. Justeru, sebanyak mana pun dosa seseorang,janganlah sampai berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah s.w.t.
Berputus asa itu bukankah ia sifat orang yang kafir dan buruk sangka kepada Allah s.w.t?Usahlah bersikap demikian. Bukankah Allah Taala itu Tuhan kita yang maha Pemaaf lagimaha Pengampun?Mohonlah keampunan Allah yang maha Pengampun terhadap hamba-Nya.
Di antara sunnah istighfar yang Nabi s.a.w titipkan buat kita, hendaklah kita mengambil peluang beristighfar dan bertaubat sebelum tidur.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a., daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: "Barangsiapa yang mengucapkan tatkala ia mahu tidur :
أستغفر الله العظيم الذي لا اله الا هو الحي القيوم وأتوب اليه
(Aku memohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan selain Dia, Dia yang Maha Hidup lagi Maha Berjaga, dan aku juga bertaubat kepada-Nya) maka diampunilah dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan, walaupun sebanyak bilangan dedaun di pokok, walau sebanyak pepasir di pantai dan walau sebanyak mana bilangan hari di dunia."(Riwayat Imam al-Tirmizi)
Nabi s.a.w menjelaskan dalam hadith ini bagaimana sifat tidur orang yang beriman. Penuh dengan adab dan akhlak yang mulia, baik ketika sebelum tidur, semasa dan selepas bangun daripada tidurnya. Tidak seperti sifat tidur orang yang ingkar dan lali kepada Allah s.w.t yang mana tidur mereka seperti binatng ternakan.
Pesanan Nabi s.a.w ini hendaklah kita renung dalam-dalam. kenapa kita sangat dianjurkan membaca istighfar walaupun sebelum tidur?Oh, istighfar sebelum tidur itu sangat wajar dan utama sekali. Bukankah tidur itu 'saudara' kematian? Boleh jadi tidur kita itu tidur yang terakhir. Tiada jaminan bahawa seseorang boleh hidup lagi pada esok hari.
Mudah-mudahan, amalan istighfar taubat yang berterusan itu (termasuk sebelum tidur) menjadi sebab (penyebab) Allah s.w.t berbelas kasihan dan sudi mengampunkan segala dosa kita.
p/s;perbanyakkanlah mengucapkan lafaz istighfar setiap masa..semoga hidup kita sentiasa bahagia dan sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah s.w.t.


Saturday, February 27, 2010

UJIAN ITU RAHSIA ALLAH S.W.T....


Bismillahirahmaniraheem..

Setiap manusia yang Allah cipta sentiasa akan diberi musibah,ujian atau masalah hidup didunia yang sementara ini.Tipu jika seseorang itu berkata yang dia tidak pernah ditimpa musibah. Setiap orang ada masalahnya tersendiri,Allah uji dengan berbagai-bagai ujian tetapi sebabnya adalah sama. Allah menguji seseorang itu kerana Allah swt mempunyai rahsianya tersendiri,sama ada Allah hendak tambah iman kita atau hendak uji sejauh mana keimanan kita. Dan kerana sesuatu ujian itulah yang membuka mata hati kita,yang mendidik kita supaya jangan mudah putus asa dalam kehidupan yang bagaikan bahtera dilautan yang penuh dengan onak duri,ujian juga dapat mematangkan kita.


Kadang-kadang kita tertanya-tanya, mempersoalkan kepada Allah swt kenapa kita diberi ujian yang berat sebegitu sekali sehingga kita terlupa pada siapa yang perlu kita mengadu segala masalah kita, pada siapa kita harus minta kembali kekuatan kita. Astagfirullah, lemahnya dan rendahnya iman kita. Tidak redha dalam menghadapi ujian yang Allah beri terhadap kita. Jika kita anggap diri kita ditimpa musibah yang besar kita hendaklah ingat bukan kita sahaja yang mengalaminya,mungkin ada sahabat-sahabat kita @ saudara seakidah kita yang lain menghadapi musibah yang sama bahkan lebih teruk atau lebih besar dari kita.

Bukankah,Allah telah berkata dengan jelas di dalam Al-Quran yang Allah tidak akan sekali-kali menguji hambaNya diluar kemampuan hambaNya. Allah tahu kita kuat dalam menghadapi ujianNya jadi Allah berikan ujian itu ke atas diri kita. Di sini kita dapat lihat betapa sayang dan kasihnya Allah kepada kita sebagai hambaNya.

Allah menguji seseorang bukan kerana Allah benci kepada kita tetapi percayalah yang Allah sangat kasih kepada kita. Cuma kita sebagai hambaNya tidak pernah hendak bersabar dalam menghadapi ujianNya. Pasti Allah telah aturkan yang terbaik buat kita kerana setiap yang berlaku ada hikmahnya.


Alihkan pandangan matamu ke arah LAUT, airnya cantik membiru dan penuh dengan ketenangan. Tetapi hanya Allah sahaja yang mengetahui rahsia di dalamnya. Begitu juga dengan kehidupan manusia, riang dan ketawa tetapi hanya Allah yang mengetahui rahsia kehidupannya. Jika rasa kecewa, alihkan pandanganmu ke arah SUNGAI, airnya tetap mengalir biarpun berjuta batu yang menghalangnya. Dan jika rasa sedih,alihkan pandanganmu ke arah LANGIT, sedarlah dan sentiasa ingatlah bahawa Allah sentiasa bersamamu.

Jadi seharusnya apa yang perlu kita lakukan? berdoalah kepada Allah, Allah lah tempat kembali segala masalah yang sering membelenggu diri kita. Jangan malu untuk merayu-rayu, meminta-minta, memohon-mohon kepada Allah swt.Selalu diingatkan yang Allah tidak pernah jemu mendengar rintihan hambaNya, Allah itu Maha Mendengar.

Dekatkanlah diri kita dengan pencipta kita yang menguasai seluruh alam, yang memegang hati-hati kita. Disamping berdoa perlulah kita berusaha menyelesaikan masalah yang dihadapi. Mungkin ada yang rasa diri mereka tidak kuat hendak hadapinya tetapi cubalah bangun! Usah tewas dengan hasutan syaitan, cari kembali kekuatan kita kerana kekuatan itu ada dalam diri kita masing-masing. Yakin dengan diri, kuatkan azam dan cita-cita. Usah tonjolkan kelemahan kita pada syaitan kerana syaitan tidak pernah berhenti menghasut agar kita lemah-selemahnya.
Jika rasa tidak kuat, carilah sahabat-sahabat yang sentiasa memberi kata-kata semangat kepada kita dan bukan sahabat yang menjatuhkan kita. Itulah pentingnya sahabat kerana kita tidak mungkin bisa hidup berseorangan.

Kita perlu tahu selepas ujian itu selesai, satu lagi ujian akan datang, maka bersedialah dalam menghadapi ujian yang seterusnya. Untung bagi mereka yang selalu diberi ujian tanda Allah swt sayang padanya. Semoga kita sentiasa menjadi hambaNya yang sentiasa redha atas ujian dan ketentuan Allah swt. Apa yang ditetapkan untuk kita itulah yang terbaik!