Monday, March 1, 2010

TULUSKAN LAFAZ ISTIGHFAR SEBELUM TIDUR..

Sebagai hamba Allah yang banyak dosa dan kesalahan kepada Allah s.w.t dan sesama manusia, Islam menganjurkan umatnya supaya banyak beristighfar dan bertaubat pada setiap masa dan ketika. Itulah di antara kewajipan setiap muslim dan muslimah yang sama sekali tidak boleh ditangguh dan dilengahkan.
Di dalam gundah mendepani kabut dosa, seorang mukmin juga penuh harap dan amat optimis dengan janji siraman rahmat dan limpahan keampunan Allah s.w.t. Rasa khauf (takut) dan raja' (harap) bersilih ganti menyinari relung hatinya.
Sungguh, rahmat dan keampunan Allah itu amat luas sekali.Tetapi bertepi seluas langit dan bumi.Maka, dambalah kemaafan Allah yang maha menerima taubat hamba-hamba-Nya. Sekali-kali Allah tidak akan mengecewakan hamba-Nya yang benar-benar ingin 'kembali' pada-Nya. Justeru, sebanyak mana pun dosa seseorang,janganlah sampai berputus asa daripada rahmat dan keampunan Allah s.w.t.
Berputus asa itu bukankah ia sifat orang yang kafir dan buruk sangka kepada Allah s.w.t?Usahlah bersikap demikian. Bukankah Allah Taala itu Tuhan kita yang maha Pemaaf lagimaha Pengampun?Mohonlah keampunan Allah yang maha Pengampun terhadap hamba-Nya.
Di antara sunnah istighfar yang Nabi s.a.w titipkan buat kita, hendaklah kita mengambil peluang beristighfar dan bertaubat sebelum tidur.
Daripada Abu Said al-Khudri r.a., daripada Nabi s.a.w, baginda bersabda: "Barangsiapa yang mengucapkan tatkala ia mahu tidur :
أستغفر الله العظيم الذي لا اله الا هو الحي القيوم وأتوب اليه
(Aku memohon ampun kepada Allah, tiada Tuhan selain Dia, Dia yang Maha Hidup lagi Maha Berjaga, dan aku juga bertaubat kepada-Nya) maka diampunilah dosa-dosanya walaupun sebanyak buih di lautan, walaupun sebanyak bilangan dedaun di pokok, walau sebanyak pepasir di pantai dan walau sebanyak mana bilangan hari di dunia."(Riwayat Imam al-Tirmizi)
Nabi s.a.w menjelaskan dalam hadith ini bagaimana sifat tidur orang yang beriman. Penuh dengan adab dan akhlak yang mulia, baik ketika sebelum tidur, semasa dan selepas bangun daripada tidurnya. Tidak seperti sifat tidur orang yang ingkar dan lali kepada Allah s.w.t yang mana tidur mereka seperti binatng ternakan.
Pesanan Nabi s.a.w ini hendaklah kita renung dalam-dalam. kenapa kita sangat dianjurkan membaca istighfar walaupun sebelum tidur?Oh, istighfar sebelum tidur itu sangat wajar dan utama sekali. Bukankah tidur itu 'saudara' kematian? Boleh jadi tidur kita itu tidur yang terakhir. Tiada jaminan bahawa seseorang boleh hidup lagi pada esok hari.
Mudah-mudahan, amalan istighfar taubat yang berterusan itu (termasuk sebelum tidur) menjadi sebab (penyebab) Allah s.w.t berbelas kasihan dan sudi mengampunkan segala dosa kita.
p/s;perbanyakkanlah mengucapkan lafaz istighfar setiap masa..semoga hidup kita sentiasa bahagia dan sentiasa mendapat rahmat dan petunjuk daripada Allah s.w.t.


No comments:

Post a Comment