Friday, January 29, 2010

BERHATI-HATI MENJAGA HATI....


Hati orang mukmin ialah hati yang sihat dan ceria. Manakala hati orang yanag fasik (berdosa) ialah hati yang sakita dan resah. Dosa itu akan mengundang gelisah dalam jiwa.



Rasulullah s.a.w bersabda:"Dosa itu sesuatu yang mendatangkan rasa resah dalam hatimu."



Dosa ialah "virus" yang menyebabkan hati sakit. Hati yang sakit mudah dikuasai oleh hawa nafsu yang ditunggangi oleh syaitan. Apabila "raja" (hati) dalam kerajaan diri sakit, ia akan turun takhta, dan naiklah "penjahat" (nafsu) sebagai penguasa baru yang akan sentiasa mengajak diri kepada kejahatan.



Bagaimana mengesan penyakit hati?



Bagaimana merawat hati yang sakit sebelum menjadi parah? mula-mula kita perlu menyedari bahawa hati itu bolak balik sifatnya. Rasulullah s.a.w menjelaskan hati itu bolak-balik sifatnya bagaikan kuah yang sedang mendidih atau menggelegak. Simpang-siur dan turun naiknya begitu unik. Kekadang ia sihat dan baik, bagaikan fitrah asalnya. Namun, sesekali bertukar menjadi kelam, kusam, hitam bagaikan lakaran syaitan yang memantulkan kejahatan.



Bagiamana caranya untuk mengesan sama ada hati kita sihat atau sakit?sekali lagi, Syeikh Ibn Ata'illah memberikan panduan menerusi kata-katanya: "sebahagian daripada tanda matinya hati, iaitu jika tidak merasa sedih kerana tertinggalnya satu amalan kebaikan, juga tidak menyesal jika berbuat suatu perlanggaran dosa."



Hati yang sakit menolak segala "makanan rohani" yang enak dan lazat seperti solat, zikrullah, membaca al-Quran, doa dan lain-lain. Apabila solat tidak lazat, bukan ertinya solat itu yang tidak lazat tetapi kerana hati kita sakit. Apabila membaca al-Quran tidak manis, bukan bererti al-Quran itu pahit tetapi hati kita yang sakit.



Imam al-Ghazali memberi panduan;



"Carilah hatimu pada tiga tempat. Cari hatimu sewaktu bangun membaca al-Quran. Jika kau tidak temui, cari hatimu ketika mengerjakan solat. jika kau tidak temui, cari hatimu ketika duduk tafakur mengingati mati. Jika kau tidak temui juga, maka berdoalah kepada Allah, pinta hati yang baru kerana hakikatnya pada ketika itu kau tidak mempunyai hati.'



Mari kita perincikan tiga kaedah ini:



1) membaca al-Quran



lazimilah mencapai al-Quran dan membacanya. Bacalah ayat-ayat Allah itu, kerana ia pasti akan menjana kekuatan jiwa untuk menghadapi badai kehidupan. Itulah penawar jiwa, ubat kepada hati. Firman Allah yang bermaksud:"Diturunkan kepadamu al-Quran sebagai petunjuk dan rahmat serta penawar..."(Surah al-Isra':82)



Jiwa yang tidak membaca al-Quran umpama telefon bimbit yang kehabisan bateri. Betapa canggih sekalipun fungsinya dan betapa mahal sekalipun harganya, ia tetap tidak berguna jika kehabisan bateri. Begitulah jiwa yang mati, betapa segak, cantik, bertebaga dan anggun sekalipun jasad luaran seseorang, tanpa al-Quran segalanya tidak bermakna.



Orang yang berjaya tetapi meminggirkan al-Quran dalam hidup umpama mendaki puncak hanya untuk meninggikan lagi tempat jatuh. Ibarat memburu fatamorgana dunia, hanya untuk ditipu olehnya.



Firman Allah s.w.t:"Tiadalah kehidupan dunia melainkan mata benda yang menipu."(Surah ali Imran:185)



2) Mendirikan solat



Berkata seorang ulama bernama Hakim:"Jika kamu ingin Allah bercakap denganmu, bacalah al-Quran kerana al-Quran adalah ayat-ayat Allah yang ditujukan kepadamu. Tetapi jika kamu pula ingin 'bercakap' dengan Allah, maka dirikanlah solat kerana solat hakikatnya ialah doa, pengaduan, pujian dan rintihan seorang hamba kepada Allah."



Hati yang lemah akan mendapat semula kekuatannya apabila bersandar kepada satu kuasa Yang Maha Perkasa. Sebagai perbandinga, pakar-pakar psikologi sering menyarankan supaya kita meluahkan masalah yang membebankan hati kepada orang yang kita sayangi, percayai atau hormati. Langkah itu akan meredakan beban rasa yang mencengkam jiwa.



Ya, sekiranya kita meluahkan rasa hati kepada manusia itu pun sudah melegakan. ASpa lagi, jika kita solat, ini bererti kita meluahkan segala rintihan, permasalahan, kesusahan kepada zat yang mampu menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh hamba-Nya.



3) Mengingati mati..



Hati yang mengingati mati akan hidup, yang melupakan mati akan mati. Hiduplah dengan semangat orang yang bersedia untuk mati.



Sabda Baginda s.a.w:"Orang yang paling cerdik iaitu mereka yang banyak mengingati mati." (riwayat al-Baihaqi).



jadilah insan bijaksana sepertimana yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w, yakni mereka yang sentioasa mengingati matui dan bersedia untuk menghadapinya. Impak daripada mengingati mati, para sahabat Rasulullah s.a.w hidup bahagia , tenang dan aman di samping dunia ditadbir dan diurus dengan cekap dan berkesan.



Ingat mati ialah pembasuh hati yang gelisah dan resah. Cukuplah mati sebagai peringatan dan pengajaran. Ingat mati akan memadamkan rasa nikmat melakukan maksiat. Ingat mati akan memadamkan rasa enggan melaksanakan taat. Ingat mati itu sesungguhnya akan memberi satu tenaga yang begitu ampuh untuk menjalani kehidupan dengan jiwa yang kukuh. Persediaan menghadapi mati menyebabkan kita lebih produktif dan aktif dalam hidup. Sebaliknya, melupakan mati akan mematikan hati.



Sebagai penutup kata, jika mati pun belum dapat mengingatkan kita, maka berdoalah kepada Allah agar dikurniakan 'hati' yang lain, kerana hakikatnya kita sudah tidak mempunyai hati lagi. BERHATI-HATILAH MENJAGA HATI, JANGAN SAMPAI KITA KEHILANGANNYA.

BUAT MATA YANG SEDANG MENANGIS..





Duhai mata yang sedang menangis...
mungkin tika ini kau sedang bahagia,mungkin juga kau sedang berdukacita.Apapun situasimu, air mata yang menggenangi kelopak matamu dan mengalir ke pipi ialah anugerah Allah s.w.t yang tidak terhingga. ia mampu membuang racun di tubuhmu kemudian disusuli ketenangan jiwa. Bersyukurlah pada-Nya kerana hingga saat ini kau masih mampu menangis.


Aduh!
sungguh hairan kumelihat orang yang merasakan tangisan itu satu kelemahan. Malah menganggapnya satu lambang ketidakmatangan.Sedangkan Allah s.w.t merakam mulia sebuah tangisan dalam firman-Nya:"Dan mereka menyungkur (sujud) di atas mula bumi mereka sambil menangis dan mereka bertambah khusyuk" (surah al-Isra':109)

"Apabila dibacakan ayat-ayat Allah Yang Maha Pemurah kepada mereka, maka mereka menyungkur dengan bersujud dan menangis." (surah Maryam: 58)

Duhai mata yang sedang menangis..
Tahukah dikau, jika dikaji dari perspektif sains, tangisanmu mampu menjadi terapi kesihatan yang berguna dalam merawat penyakit berbahaya. Tatkala dirimu dalam ketakutan, unsur-unsur berbahaya dijana oleh tubuh. Air mata secara semulajadi boleh membuangnya. Otak pula bekerja mengeluarkan unsur-unsur kimia daripada air mata. Bukan itu saja, tangisan menambah jumlah degupan jantung sebagai latihan berguna buat sekatan rongga badan, kedua-dua bahu dan urat-urat dada. Setelah tangisanmu reda, kembalilah degupan jantung ke asalnya dan ketenangan mula menguasai jiwa. Subhanallah!hebat sungguh penciptaan air mata

Duhai mata yang sedang menangis..
Tangisan bukan keaiban tapi satu keperluan. Sama ada kau lelaki atau wanita., kau perlu ada tangisan. Ia menjernihkan kornea dan menajamkan penglihatan. Ia meringankan ketegangan jiwa. Ia mengungkapkan kesedihan lalu merungkai beban yang tersimpan.

Jika kau lelaki,kenapa perlu malu pada tangisan? Mungkin sosiobudaya mendidikmu bahawa tangisan itu satu kelemahan dalam mengendalikan kemampuan. kau mungkin dipisahkan antara diri dengan perasaanmu sendiri oleh didikan silam. Apa pun, tak siapa dapat menafikan kau juga insan yang punyai hati dan perasaan. Isi hatimu kadangkala perlu diluahkan dengan tangisan untuk mengurangkan tekanan dan risiko penyakit. Usah menipu diri berlagak kuat dengan menafikan air mata kerana kel;ak badanmu mendapat darurat.
jika kau wanita, kau mungkin lebih banyak menangis daripada lelaki. Tahukah dikau.penyayangnya Allah s.w.t padamu hingga Dia menciptakan kelenjar-kelenjar air matamu lebioh besar daripada kelenjar-kelenjar air mata lelaki. Tidak hairanlah kajian ilmiah menunjukkan kau menangis empat kali lebih banyak daripada lelaki.

Ia antara penyebab panjangnya usiamu berbanding lelaki. masakan tidak, air matamu keluar bersama keluarnya peratusan racun dari tubuh. Doktor pakar mata berkata, air mata penting untuk menyucikan mata daripada racun yang keluar akibat ketegangan urat saraf perasaan dan emosi yang tidak stabil.
Duhai mata yang sedang menangis....
Sungguh bertuah kau masih mampu menangis. Usah ditahan tangisan itu. Luahkannya dengan rasa takut dan harap pada Tuhanmu. Benar, tangisanmu itu tak mampu mengembalikan masa lalumu. Jangan biarkan tangisan itu membibitkan kabus pada masa depanmu. Anggaplah ia sebahagian daripada masa sekarangnya untuk melonjakkan amal dan perubahan untuk hari esok.
Sesungguhnya tangisan kerana Allah s.w.t ketika gembira atau derita ial;ah ubat mujarab untuk mencari ketenangan hidup. Dengarilah pesanan Rasulullah s.a.w dalam menyampaikan kalam yang Esa:"Aku haramkan neraka kepada mata yang selalu menangis kerana takut kepada Allah"(Riwayat Ahmad dan Nasai).
*Fatimah Syarha Mohd Nordin*



Saturday, January 23, 2010

ANUGERAH BUAT TEMAN..

ERTI KAWAN:
SAHABAT(TEMAN)
BERSAUDARA
PENASIHAT
SUSAH SENANG BERSAMA
PENDORONG
SANGGUP BERPISAH KERANA KEBENARAN
2 PERKARA YANG MESTI KITA LUPAKAN
KEBAIKAN KITA PADA ORANG LAIN
KEBURUKAN ORANG LAIN PADA KITA
2 PERKARA YANG MESTI KITA INGAT
KEBURUKAN KITA PADA ORANG LAIN
KEBAIKAN ORANG LAIN PADA KITA
MUTIARA KATA SEORANG SUFI:
HAK SEORANG KAWAN:
JIKA ENGKAU TIDAK MAMPU MEMBERI BANTUAN KEPADANYA,
JANGANLAH PULA ENGKAU MEMBERI KESUSAHAN KEPADANYA,
JIKA ENGKAU TIDAK MAMPU MENGGEMBIRAKANNYA,
JANGANLAH PULA ENGKAU MENDUKACITAKANNYA,
JIKA ENGKAU TIDAK MAMPU MEMUJINYA,
JANGANLAH PULA ENGKAU MENGEJINYA...

"CINTAILAH orang yang engkau cintai sekadarnya saja, siapa tahu suatu hari nanti ia menjadi orang yang engkau benci pula BENCILAH orang yang engkau benci sekadarnya saja, siapa tahu suatu hari nanti ia menjadi orang yang engkau cintai pula"
-saidina Ali Abi Talib-
*Artikel asal oleh : Penceramah motivasi Ustaz al-kausar

Wednesday, January 20, 2010


Ya Allah

permudahkanlah urusan ku Ya Allah

berikanlah aku kekuatan

untuk menempuh cabaran tika dan saat ini Ya Allah

jadikanlah hambamu bijak membahagikan masa

Antara mencari ilmu mengulangkaji ilmu

mentelaah ilmu mencari pengalaman

menjalankan tanggungjawab mencari kekuatan

dan mencari Keredhaan mu Ya Allah


Ya Allah

tetapkanlah hatiku dan niatku

Menuntut ilmu hanya keranamu Agamamu dan Bangsaku Ya Allah

jadikanlah ilmu yang kucari Hikmah yang Kau beri kefahaman dan yang Kau campakkan Dapat meningkatkan Iman dan Takwaku pada Mu Ya Allah jadikanlah hatiku sabar dengan segala cabaran dan masalah yang akan menimpaku Jadikanlah ia satu hikmah yang bernilai bagi mendewasakan ku Ya Allah berikanlah daku kejayaan yang direhai oleh mu Amin ya rabbal alamin.....

AKU TANPA CINTAMU....


Lirik lagu nasyid, juga lagu layar keinsafan mungkin amat sesuai menggambarkan rasa keinsafan di hati Zayanah sekarang. Zayanah sering meratapi kekhilafannya dan merenung masa depannya yang gelap hasil perbuatannya sendiri.Tanpa diduga gadis yang selama ini amat menjaga batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan, prinsipnya yang dipegang teguh selama hidup di bumi Allah, hancur begitu sahaja kerana amat rapuhnya iman seorang perempuan yang bergelar remaja.

Tawaran untuk ke sebuah universiti awam di tanah air sedikit melegakan hatinya yang luluh kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Mesir. Zayanah tetap teguhkan hatinya untuk terlibat dalam bidang kejuruteraan. Dalam bidang kejuruteraan, sudah semestinya kaum adam lebih mempelopori bidang ini. Hati Zayanah sedikit cemas dan tidak selesa dengan keadaan barunya kini, kerana dia terpaksa bercampur dengan kaum adam untuk mencari ilmu. Namun dia percaya, selagi niat untuk mencari ilmu Allah dipegang, Allah akan melindunginya.

Memang Zayanah mengakui, dia amat mudah tertarik dengan lelaki yang berpewatakan alim. Walaupun selama ini, Zayanah tidak pernah bergaul dengan lelaki, malah tidak pernah bercakap dengan lelaki, kerana dia memang dikenali dengan sifat pemalunya dan amat pasif semasa di alam persekolahan lagi, membuatkan ramai yang tidak berani untuk mendekatinya. Tetapi jauh di sudut hati seorang perempuan, dia inginkan kasih sayang seorang lelaki kerana dari kecil dia tidak pernah merasai kasih sayang seorang ayah malahan adik beradik lelaki kerana Allah lebih menyayangi abinya dan tiga orang abangya , yang meninggal akibat terlibat dalam sebuah kemalangan semasa Zayanah masih dalam kandungan umminya.

Perkenalannya dengan seorang senior lelaki atas dasar ingin menolong dalam pelajaran memusnahkan segalanya. Sidqi merupakan pelajar tahun akhir di universiti tersebut , berperwatakan amat alim dan banyak memberi nasihat kepada Zayanah, sedikit sebanyak telah menambat hati seorang mar’atus. Namun ketahuilah jalan menuju kepada perzinaan amat banyak. Jangan biarkan diri kita melalui mana-mana jalan perzinaan. Iblis akan memerangkap anak cucu Nabi Adam as. Iblis amat berpengalaman dan tipu dayanya sangat halus. Ia telah menipu moyang kita yang pertama, Adam dan Hawa. Iblis amat licik. Ingat, pesanan Rasulullah : Janganlah engkau bersendirian dengan seorang wanita kecuali yang ketiganya, syaitan(Tabrani) .

Kita amat lemah menghadapi tipu daya Iblis, lebih-lebih lagi pada zaman remaja. Memang pada awalnya tidak bersua muka, hanya bertanya khabar melalui internet, kemudahan teknologi kini banyak disalahgunakan pelajar sekarang, contohnya seperti Skype, YM, Gtalk dan sebagainya, Tapi perasaan pasti bergelora, lambat laun desakan nafsu dan perasaan serta hasutan Iblis akan mengheret kepada suatu pertemuan. Pertemuan pertama tidak akan terhenti disitu sahaja. Percayalah, ia akan berlanjutan. Tidakkah itu boleh membawa kepada perzinaan akhirnya?

Inilah yang terjadi kepada kedua-dua mereka. Dimulakan dengan senyuman pertama semasa pertemuan pertama mereka di perpustakaan, telah menyulam kuntuman cinta dalam hati kedua-dua mereka. Perwatakan sopan dan lembut Zayanah telah menambat hati Sidqi. Hampir dua bulan perkenalan mereka, Sidqi telah memberanikan dirinya menyatakan hasrat cinta kepada Zayanah, mudah sekali syaitan telah meruntuhkan keimanan dihatinya, Zayanah pula yang sudah lama menantikan putera agamanya itu, dengan mudahnya menerima hasrat hati Sidqi. Maka bergembiralah syaitan kerana telah dapat meruntuhkan iman mereka. kononnya dengan harapan dapat menyemai cinta Islamik. Mereka telah berjanji untuk saling mengingatkan dan menjaga batas perhubungan mereka. Zayanah telah berkali-kali mengingatkan Sidqi untuk mengikat tali pertunangan jika benar-benar ikhlas terhadap dirinya, namun Sidqi memberi alasan untuk menghabiskan semester akhirnya dahulu barulah dia akan meminang Zayanah. Zayanah yakin dengan kata-kata Sidqi.

Perhubungan mereka berjalan lancar sepanjang semester dan dengan bantuan Sidqi, Zayanah telah dapat sedikit minat untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang kejuruteraan yang amat tidak disukainya dulu. Dengan bantuan Allah, mereka telah dapat menjawab soalan peperiksaan untuk semester itu dengan cemerlang. Syaitan amat bijak dan pelbagai cara digunakan untuk meruntuhkan niat suci mereka, bercinta untuk mencari keredhaan Allah. Maka, terjadilah satu detik hitam dalam hidup kedua mereka, kerana mereka berasal dari negeri yang sama, Sidqi telah mengajak Zayanah untuk balik cuti semester ke kampung dengan menaiki keretanya.

Pada mulanya Zayanah menolak pelawaan Sidqi, tapi apabila Sidqi memberi alasan hanya untuk teman berbual dan menghilangkan rasa mengantuk semasa memandu kereta, Zayanah menerima pelawaan buah hatinya itu, sayanglah katakan. Bila berdua-duaan, maka muncullah yang ketiganya, iaitu syaitan laknatullah, memujuk nafsu mereka. Maka terperangkaplah dua insan yang berkasih-sayang. Zayanah dan Sidqi telah hanyut ditelan nafsu . Sejak kejadian itu, Sidqi yang telah tamat pengajiannya di universiti itu telah menjauhkan diri daripada Zayanah dan meninggalkan Zayanah tanpa khabar berita, dengan alasan menyesal dan ingin bertaubat.


Bermula semester baru, Zayanah yang pada masa itu baru sahaja tahun dua pengajiannya,
terpaksa menangguhkan pengajiannya selama setahun kerana mengandung hasil daripada perhubungan kotor mereka. Namun sesalan tidak berguna lagi, keluarganya tidak dapat menerimanya lagi dan tinggallah Zayanah terkapai-kapai dalam penyesalan seorang diri. Dengan jasa baik sahabat karibnya, Amilah, Zayanah menumpang di rumahnya sehingga dia melahirkan seorang cahaya mata lelaki. Zayanah sentiasa tertanya-tanya, masih adakah insan yang dapat menerima dirinya yang sudah tidak suci. Kerana dia tahu, penzina hanya untuk penzina, lelaki yang baik untuk wanita yang baik, dan sebaliknya.

Kini Zayanah berada dalam tahun akhir pengajiannya di universiti tersebut, memang perit untuk Zayanah kerana dalam masa yang sama, dia terpaksa bekerja untuk menyara anak lelakinya, satu-satunya buah hatinya kini. Penyesalan tidak berguna lagi. Begitulah kita jika tanpa cinta kepada Allah, jika hanya mengharapkan cinta insani, mudah hanyut dan termakan pujuk rayu syaitan. Nau’zubillah..

PENGAJARANNYA(TAZKIRAH SEORANG SAHABAT)
Cinta secara Islam hanya satu, iaitu perkahwinan. Cinta berlaku setelah ijab kabul, cinta selepas kahwin. Itulah cinta sacral dan qudus. Cinta yang bermaruah. Bukan cinta murahan. Inilah kemuliaan Islam. Apabila Islam menegah sesuatu perkara, tentu ia gantikan dengan sesuatu yang lebih baik. Jika ia menegah cinta antara lelaki dan perempuan sebelum kahwin, ia membawa perkahwinan sebagai ganti yang lebih baik. Sabda Rasulullah : Tidak ada yang lebih patut bagi dua orang yang saling mencintai kecuali nikah. (Ibnu Majah).

Cinta adalah maruah manusia, ia telalu mulia. Kalau begitu, adakah cinta remaja semua menghampiri kepada penzinaan? Ya, kalau lelaki dan perempuan bertemu tentu perasaan turut terusik. Kemudian perasaan dilayan. Kemudian teringat, rindu. Kemudian diatur pertemuan. Kemudian duduk berdua-dua. Kemudian mencari tempat sunyi sedikit. Kemudian berbual panjang sehingga malam gelap. Hubungan makin akrab, dah berani pegang tangan, duduk makin dekat. Kalau tadi macam kawan, sekarang macam pengantin baru, bukankah mereka ini semakin hampir dengan penzinaan? Berapa ramai orang yang bercinta telah sampai kepada daerah penzinaan dan kesengsaraan. Kasihanilah diri dan ibu bapa yang melahirkan kita dalam keadaan putih bersih tanpa noda daripada seekor nyamuk sekalipun!


WARKAH BUAT HAWA...
HAWA , andai engkau masih remaja, jadilah anak yg solehah bt kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami, jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau masih ibu, didiklah anakmu sehingga dia tidak gentar memperjuangkan ad-din ALLAH...

HAWA, andai engkau belum berkahwin, janganlah kau risau jodohmu, ingatlah janji tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan dimulakan sebuah pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrimmu, kerana aku khuatir dari mata jatuh ke hati, maka lahirnya senyuman maka tercetusnya salam sekaligus disusuli dengan pertemuan, takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri...

HAWA, lelaki yang baik tidak melihat pada paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keayuannya, lelaki yang warak, tidak menilai wanita melalui kemanjaannya serta kemampuannya mengoncang iman lelaki, tetapi, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan yang paling penting pegangan agamanya. Lelaki yang baik juga tidak menginginkan pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya, kerana dia takut memberi kesempatan kepada syaitan untuk mengodanya, lelaki yang warak juga, tidak mahu bermain cinta kerana dia tahu apa matlamat dalam sebuah pertemuan lelaki dan wanita, yakni sebuah perkahwinan.

Oleh itu HAWA, jagalah pandanganmu, awasilah auratmu, peliharalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai ditakdirkan tiada cinta daripada adam untukmu, cukuplah hanya cinta ALLAH, yang memenuhi dan menyinari kekosongan jiwamu, biarlah hanya cinta daripada kedua ibu bapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik, serta keluarga yang membahagiakan dirimu.

HAWA, cintailah ALLAH dikala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta daripada insan yang juga menyintai ALLAH. Cintailah kedua ibu bapamu kerana kau akan perolehi keredhaan ALLAH, cintailah keluargamu kerana kau tidak akan jumpa cinta yang bahagia selain daripada cinta keluarga. Janganlah sesekali tangan yang mengoncangkan dunia, juga mengoncangkan iman lelaki.. TUNDUKKAN PANDANGANMU… WASSALAM WBT…

Sunday, January 17, 2010

NILAI TUDUNG SEORANG WANITA..

Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.

Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.

Saturday, January 16, 2010

MONOLOG AN-NISA'.......

Aku ingin menjadi bunga segar
Yang mekar mewangi di taman
Ingin dipagari duri-duri tajam
Agar tiada yang berani menyentuh apatah lagi mendekati
Tanpa sebab yang menghalalkan.
Aku ingin berasa aman
Dalam indah taman
Tenang tanpa gusar Gembira tanpa hiba,
Aku ingin sentiasa dihujani rahmat Tuhan
Ingin diiringi keredhaanNya
Dipayungi bawah awan lindunganNya
Agar selamat daripada panahan syaitan
Agar sejahtera daripada fitnah duniawi,
Tapi.. tatkala ini jiwa telah gelora
maka iman turut terkocak gelombang
Setibanya teguran Tuhan Aku tersentak...
Baru kusedar keseronokan,
keindahan dan kebahagiaan yang aku kecapi
Terpesong dari landasan syariatNya
Lalu.. jiwa ini meronta saban hari
Minta dibebaskan daripada belenggu dosa noda
Sesaat tak terpadam ingatan dosa lalu
Yang semakin menimbun dalam catatan amalku...
Terbit nur insaf dari hati yang mulus
Syukur Tuhan masih menyayangi
Mujur tak tercampak ke lembah hina dan berlarutan dalam dosa
Kuyakin di langit sana masih luas terbuka keampunan keredhaan dan rahmatNya..
Dan,sekali lagi ku utuhkan azam
aku ingin menjadi bunga segar
yang mekar mewangi di taman menanti
hadir insan yang selayaknya memetikku
menjadi hiasan hidupnya...

Tuesday, January 12, 2010

TUGAS PENUNTUT ILMU...

Tugas setiap penuntut ilmu secara umum dapat digariskan sebagai empat tugas iaitu:

*Memperbetulkan niat

Perkara pertama yang perlu diambil perhatian oleh penuntu ilmu ialah mempunyai keikhlasan niat demi untuk mencapai keredhaan Allah. Bukan untuk berbangga apabila digelar sebagai orang alim atau dengan tujuan untuk mengumpulkan harta, pangkat atau yang seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW : 'Sesiapa yang mempelajari ilmu kerana Allah, tidak mempelajari ilmu kerana inginkan harta dunia, tidak akan dia temui kecuali Syurga hari akhirat kelak.' -Riwayat oleh Abd. Razak.Cuma perlu di ingat bahawa, jika harta, pangkat dan yang seumpamanya datang kepada seorang alim, maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menerima dan memanfaatkannya.

*Berterusan dalam menuntut ilmu.

Ilmu adalah lautan yang tidak mempunyai pantai dan tepian. Maka usaha menuntut dan menambahkan ilmu hendaklah berlaku secara berterusan, tidak dihalangi oleh peringkat-peringkat ijazah tertentu. Firman Allah SWT. "Katakanlah (wahai Muhammad) tambahkan aku ilmu" (Surah Toha :114)

*Sabar dalam menuntut ilmu.

Seorang penuntut ilmu hendaklah sentiasa sabar dalam menempuh dugaan dan cabaran yang merintangi perjalanannya di dalam menuntut ilmu sama ada yang bersifat fizikal mahupun rohani. Tidak perlulah diceritakan di sini sejarah para sahabat dan ulama yang menempuh segala cabaran demi untuk menuntut ilmu.

*Memuliakan guru.

Sabda Rasulullah SAW : 'Bukan dari umatku orang yang tidak memuliakan orang tua dan mengasihi anak-anak muda kami dan tidak mempelajari daripada orang-orang alim.' -Riwayat Abu Daud. Saya tidak bertujuan untuk menghuraikan hak seorang alim/guru yang perlu ditunaikan oleh muridnya di dalam artikel ini cuma dicadangkan agar kita mengambil sedikit dari masa kita untuk melihat kembali perkara ini, semoga segala ilmu yang kita tuntut akan mendapat keredhaan Allah SWT.

Akhlak Penuntut Ilmu

1) Merasakan tanggungjawab ilmu.
Diriwayatkan daripada Muaz bin Jabal beliau berkata Rasulullah SAW bersabda: 'Tidak akan mara seseorang hamba di hari Akhirat melainkan telah ditanya mengenai 4 perkara: Berkenaan Umurnya ke mana yang telah dia habiskan. Berkenaan dengan Waktu mudanya apa yang telah dia lakukan. Berkenaan dengan hartanya dari mana diperolehinya dan ke mana dia belanjakan. Dan berkenaan dengan ilmu apa yang telah diperbuat dengannya.' -Riwayat oleh Attabarani dengan isnad yang sahih
2) Menjaga amanah ilmiah.
Sabda Rasulullah SAW : 'Berilah nasihat pada ilmu, Sesungguhnya khianat seseorang daripada kamu terhadap ilmu adalah lebih dahsyat daripada khianatnya terhadap hartanya, Dan sesungguhnya Allah akan bertanya kepada kamu pada hari kiamat.' - Riwayat Attabarani-.Di antara yang termasuk dalam daerah amanah ilmu adalah beberapa perkara berikut:- i)Menasabkan atau menyandarkan pendapat dan fikrah (buah fikiran) kepada Tuannya. ii)Menyampaikan ilmu yang diketahui, dan tidak malu untuk mengatakan"tidak tahu" jika dia tidak mengetahuinya.
3) Tawadduk.
Para ilmuan yang menyedari bahawa ilmu adalah lautan yang tidak bertepi tidak akan merasa sombong dan bangga dengan apa yang ada pada mereka. Bahkan selagi bertambah ilmu di dada, semakin bertambah sifat tawadduk. Firman Allah SWT: "...Tidak diberi kepada kamu ilmu kecuali sedikit sahaja." (Surah al-Isra':85)
4)Mulia diri (Al-Izzah)
Para ilmuan hendaklah merasa mulia diri dan tidak merendahkan diri apabila berhadapan dengan pemerintah, golongan bangsawan, golongan kaya-raya dan yang seumpamanya. Firman Allah SWT: "Kekuatan itu hanyalah kepada Allah, bagi RasulNya dan bagi orang-orang mukmin, tetapi orang-orang munafik itu tidak mengetahui." (Al-Munafikun:8) , "Barangsiapa yang menghendaki kemuliaan, maka bagi Allah lah kemuliaan itu semuanya." (Fathiir:10)
5)Beramal dengan apa yang dipelajari.
Firman Allah SWT : "Mengapa kamu menyuruh orang lain (mengerjakan) kebajikan, sedangkan kamu sendiri melupakan diri (kewajiban)mu sendiri padahal kamu mambaca Al-Kitab (Taurat)? Maka tidakkah kamu berfikir?" (Al-Baqarah:44)
6)Sentiasa berusaha untuk menyampaikan ilmu.
Firman Allah SWT: "Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil janji dari orang-orang yang telah diberi kitab (iaitu):"Hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada manusia, dan janganlah kamu menyembunyikannya", lalu mereka melemparkan janji itu ke belakang punggung mereka dan mereka menukarkannya dengan harga yang sedikit,amatlah buruk tukaran yang mereka terima." (Ali-Imran:187)

SELAMAT BERAMAL..SEMOGA ILMU DIBERKATI..


Sunday, January 10, 2010

DOA-DOA ANGGOTA WUDHUK..MENSUCIKAN ZAHIR DAN BATIN..SELAMAT BERAMAL

Sesungguhnya dalam berwudhu', seharusnya kita bukan sahaja berniat untuk mensucikan zahir (lahiriah) tubuh kita, tapi juga batin kita. jadi Bagaimana caranya?
berikut adalah doa-doa yang boleh kita baca dalam setiap gerakan bersuci anggota wudhu kita. Dengan membaca doa-doa ini, kita akan lebih khusyuk dalam berwudhu, sehingga hati kita tidak dikotori oleh hal-hal lain. Insya Allah, dengan cara ini, batin kita pun akan menjadi bersih ketika kita berwudhu.antara doa-doanya ialah:

Ketika membasuh dua tapak tangan, ucapkan seperti ini:
Ya Allah, peliharakanlah tanganku dari segala berbuat maksiat kepada-Mu.

Saat berkumur-kumur, ucapkan:
Ya Allah, tolonglah aku, supaya aku tetap berzikir mengingat Engkau dan bersyukur.

Saat membersihkan air ke hidung, ucapkan:
Ya Allah, ciumkanlah oleh-Mu untukku akan wangi-wangian syurga.

Saat membasuh muka, ucapkan:
Ya Allah, putihkanlah wajahku pada hari diputihkannya wajah manusia dan dihitamkan wajah setengahnya.

Dikala membasuh tangan kanan, ucapkan:
Ya Tuhan, berikanlah (kelak) suratan amalku pada tangan kananku, dan beri hisablah ia dengan penghisaban yang sedikit.

Dikala membasuh tangan kiri, ucapkan:
Ya Allah, janganlah Engkau berikan suratan amalku pada tangan kiriku dan jangan dari belakangku.

Dikala membasuh kepala, ucapkan:
Ya Allah, jauhkanlah rambut dan kulit badanku dari api neraka.

Tatkala menyapu dua telinga, ucapkan:
Ya Allah, jadikanlah aku seperti mereka yang mendengar kata-kata yang baik, dan mengikuti akan mereka yang sebaik-baiknya.

Tatkala membasuh kedua kaki, ucapkan:
Ya Allah, tetapkanlah kiranya kedua kakiku di atas titian pada hari yang banyak tergelincir kaki manusia.
SELAMAT BERAMAL!!

WUDHUK PEMBERSIH ZAHIR DAN BATIN..


SEMUA orang hendak cantik. Demi cantik, sekarang orang sanggup bargadai, asalkan cantik. Tidak cukup dengan bedak dan mekap, sanggup mereka mengubah muka dengan pembedahan plastik, asalkan cantik.Kadang-kadang walaupun terseksa mereka tidak peduli, kerana yang penting bagi mereka ialah cantik.
Muka kena menawan biar orang memandang, berpaling dan menjeling, yang penting cantik.Apabila hendak cantik, tentu bahagian mukalah menjadi sasarannya, dengan hidung ditinggikan, mulut ditebalkan, tulang rahang dinaikkan, mata dibuat alis, dilentik malah apa saja sanggup diubah selagi dapat diubah, kerana yang penting cantik. Kadangkala kesian juga pada mereka yang hendak cantik tetapi tidak juga cantik-cantik.
Selepas dicantikkan muka kemudian menjadi tidak cantik juga.Kenapa? Sebabnya ialah kerana kecantikan bukan sahaja pada muka dan penampilan serta aspek luaran tetapi juga kecantikan dalaman (inner beauty). Kecantikan dalaman sangat jarang diberi keutamaan seperti muka yang tenang bercahaya berpaksi dari hati. Bercahaya bukan sahaja di dunia tetapi berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhirat. Antara tip muka bercahaya yang membekas kepada kehidupan ialah kesan wuduk.
Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya umatku kelak akan dipanggil di hari kiamat dalam keadaan putih cemerlang kerana kesan daripada air wuduk."

Ini satu jaminan kecantikan yang abadi. 'Inner beauty' yang penulis maksudkan ialah kecantikan hati yang membawa lahirnya peribadi cemerlang seperti nilai integriti seperti ikhlas, jujur, amanah dan sebagainya bermula daripada wuduk. Air wuduk bukan sahaja membersihkan anggota fizikal tetapi membersihkan kotoran batin seperti dosa dan maksiat yang dilakukan.
Jangan pandang kecil pada yang bernama pengampunan Allah sebab itulah pintu segala kebaikan dan kebajikan. Cuba lihat ibadat wuduk mendidik bersih hati dan nilai integriti. Wuduk biasanya dilakukan secara sendirian, tidak ada orang melihat seperti juga puasa orang tidak tahu. Boleh saja kalau yang berwuduk itu hendak menipu seperti tidak basuh kaki atau basuh tidak sempurna kerana orang tidak tahu. Kerana itulah wuduk hanya dilakukan orang yang ikhlas sahaja. Orang ikhlaslah yang berseri wajahnya.
Mereka yang tidak pernah menghiasi muka dengan mekap wuduk sudah tentu tidak terlatih dengan keikhlasan. Sebenarnya boleh sahaja kalau seseorang itu melakukan solat tanpa wuduk tetapi keikhlasan sahaja yang membuatkan mereka tidak akan menipu. Orang yang jujur akan terpancar pada wajahnaya cahaya keikhlasan. Seseorang yang sentiasa berwuduk sentiasa bersama malaikat.Malaikat sebagaimana yang kita ketahui bersih dan tidak akan berada di tempat kotor. Apabila bersama malaikat bukan sahaja ia akan mendoakan orang yang berwuduk malah sentiasa mendorong dan membisikkan kebaikan. Lagi banyak bisikan kebaikan, lagi terdorong melakukan kebaikan. Bukankah kebaikan itu bermula dengan dorongan.Sebab itulah orang berwuduk terpancar kebersihan dan cahaya dari wajahnya.
Selepas kebersihan wajah dengan wuduk, kemudian muka pula berhias dalam batas syarak akan terserlah kecantikan. Kalau harap cantik dengan mekap dan krim pencantik tetapi muka jauh daripada wuduk, itu hanya lakonan dan sandiwara itu yang menyebabkan rumah tangga tidak kekal, tidak ada kesetiaan dan integriti.

Friday, January 8, 2010

WANITA YANG KUSAYANGI....



Wanita yang aku sayangi
Adalah pencinta Tuhannya
Yang mengalir cinta,takut dan harap
Yang menguasai perjalanan penghidupannya
Dari waktu ke waktu,
dari hari ke hari
Sehingga perjanjian di antara jasad dan nyawanya berakhir…

Wanita yang aku rindui
Adalah wanita yang di mata dan wajahnya terpancar sinar NurIlahi
Lidahnya basah dengan zikrullah
Di sudut hati kecilnya sentiasa membesarkan Allah

Wanita yang aku cintai
Yang menutup auratnya dari pandangan lelaki ajnabi
Kehormatan dirinya menjadi mahal nilainya
Disanjung tinggi penduduk langit dan bumi

Wanita yang aku impikan
Adalah yang mendekatkan hatiku yang telah jauh
Kepada Ar-Rahman dan Ar-Rahim
Namun aku tidak ada di sana
Kerana aku dilamar oleh kebendaan dunia

Wanita yang aku kasihi
Yang bersyukur pada apa yang ada
Yang bersabar pada apa yang tiada
Cinta pada hidup yang sederhana yang tidak bermatakan benda

Wanita yang aku sukai
Menjadi dian pada dirinya sendiri
Menjadi pelita untuk putera-puteri yang bakal dilahirkan
Untuk menyambung perjuangan di belakang hari
Sesungguhnya Wanita yang selalu berada di dalam doaku
Adalah diriku, dirimu dan seluruh kaum Hawaku…Jadilah kita.. WANITA “Mujahidah” yang diimpikan itu..


Tuesday, January 5, 2010

~TIPS BERURUSAN DENGAN LELAKI~PELIHARALAH IKHTILAT KALIAN..

Berikut adalah 5 tips bagaimana berurusan dengan lelaki ajnabi. Tips-tips ini telah dikongsi oleh seorang sahabat yang amat disegani oleh kaum lelaki dan kaum wanita. Semoga dengan mengamalkan perbatasan hubungan ini, akan lebih mensucikan hati kita dan hati mereka. Sama-samalah kita menjaga hati...
1. Elakkan berurusan dengan lelaki
- Selagi masih boleh dan berpeluang untuk minta tolong daripada perempuan. Kecuali dalam hal seperti dalam hal repair kereta, repair laptop dan lain-lain. Disebabkan limitation kemampuan wanita dalam hal tersebut, maka terpaksalah juga akhirnya minta bantuan daripada orang lelaki.
2. Kalau terpaksa berkomunikasi dengan orang lelaki,
gunakanlah medium perantaraan dalam bentuk tulisan seperti SMS, e-mail atau nota kecil. Gunakan perkataan-perkataan formal,bukan bahasa pasar. Contoh :maaf(bukan sorrie..), terima kasih(bukan time kacih..). Lagi satu, tak payahlah buat smiley face ke =),gelak ke (hihihi..), dan lain-lain yang kurang berfaedah.Elakkan bercakap melalui telefon kalau belum betul-betul desperate. Ini kerana suara wanita amat lunak dan boleh menggetarkan jiwa insan yang bernama lelaki. Buktinya sampai ALLAH sound kepada wanita supaya keraskan suara!
Rujuk Quran,Surah Al-Ahzab, ayat 32 :"Wahai isteri-isteri nabi, kamu bukanlah seperti perempuan-perempuan lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah lemah-lembutkan suara dalam berbicara, sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan yang baik." Kalau rasa ayat ini ditujukan kepada isteri-isteri nabi sahaja, sepatutnya kita juga menyahut seruan tersebut untuk mencapai darjat yang sama seperti mereka-darjat wanita bertaqwa dan darjat wanita-wanita yang terpilih. Best kan ???
3. Tundukkan hati.
Apabila terpaksa berurusan dengan lelaki, kita sepatutnya merasa bulu roma kita meremang-kerana takut pada ALLAH! Kita sangat takut sekiranya disebabkan kita, lelaki tersebut tertarik kepada kita. Sewaktu berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut, banyakkan beristighfar dan berdoa “ YA ALLAH, janganlah KAU jadikan lelaki ini tertarik kepadaku. Jauhkan pandangannya daripada panahan-panahan syaitan.”
4. Tundukkan pandangan.
Jangan tertipu dengan subjek communication skills yang pernah kita belajar, "make eye contact with the person you’re talking to..". Ianya applicable kalau kita bercakap dengan sesama jantina sahaja. Kalau ada eye contact dengan orang yang berlainan jantina, kita akan mendapati teori “dari mata turun ke hati” itu benar-benar boleh berlaku. Para sahabat dahulu pun, ALLAH perintahkan supaya tahan pandangan mata mereka apabila berurusan dengan isteri-isteri nabi.
Rujuk kembali Surah Al-Ahzab, ayat 53 :"…apabila kamu meminta sesuatu daripada isteri nabi, mintalah dari belakang tabir. Itu lebih suci bagimu dan hati mereka…". Tetapi kita bukanlah disuruh membawa tabir ke mana-mana kita pergi. Kalau susah sangat nak jaga mata, tutuplah pandangan dengan buku ke, fail ke.. Kita lihat betapa ALLAH sangat mengambil berat masalah hati para sahabat dan isteri-isteri nabi supaya mereka tidak tewas ke dalm kemungkaran. Kalau kita nak jadi sehebat mereka, kenalah aplikasikan apa yang mereka lakukan. Takkan nak tunggu ALLAH sebut nama kita dalam Quran baru nak buat. Contoh :"Wahai cik _____, tundukkanlah pandangan..". Isk,isk..tak layaknya..
5. Cepatkan urusan.
Perkara ini mungkin applicable kepada students/orang yang dah bekerja dan terpaksa berurusan dengan team lelaki. Dah tak dapat nak dielakkan, mereka sahaja teammate kita. So, apa-apa kerja yang dibuat bersama, buat sahajalah kerja tersebut. Tak payahlah nak berborak-borak, tanya hal peribadi, gelak-gelak, buat lawak..tak perlu,TAK PERLU! Siapkan kerja cepat-cepat, then go. Discussion venue pula buatlah di tempat yang proper dan berurusanlah secara professional. Semoga bermanfaat dan semoga kita dikenali sebagai wanita mu’minah yang ada identiti, yang taat perintah ALLAH dan takutkan hari pembalasan. Semoga tidak melalaikan diri kita dan orang yang menerimanya. Jagalah diri, hiasi peribadi. Wassalam.

BERPESAN-PESANLAH PADA KEBENARAN..SELAMAT BERAMAL..:-)

DI MANA CANTIKNYA SEORANG WANITA???

Mungkin pada sepasang matanya yang hening yang selalu menjeling tajam atau yang kadang kala malu-malu memberikan kerlingan manja. Boleh jadi pada bibirnya yang tak jemu-jemu menyerlahkan senyuman manis, atau yang sekali-sekala memberikan kucupan mesra di dahi umi juga, ayah, suami dan pipi munggil anak-anak. Atau mungkin juga pada hilai tawanya yang gemersik dan suara manjanya yang boleh melembut sekaligus melembutkan perasaan.
Sejuta perkataan belum cukup untuk menceritakan kecantikan perempuan. Sejuta malah berjuta-juta kali ganda perkataan pun masih belum cukup untuk mendefinisikan tentang keindahan perempuan. Kitalah perempuan itu. Panjatkan kesyukuran kehadrat Tuhan kerana menjadikan kita perempuan dan memberikan keindahan-keindahan itu. Namun, betapa pun dijaga, dipelihara, dibelai dan ditatap di hadapan cermin saban waktu, tiba masanya segalanya akan pergi jua. Wajah akan suram, mata akan kelam. Satu sahaja yang tidak akan dimamah usia, sifat keperempuanan yang dipupuk dengan iman dan ibadah.

Anda ingin lebih cantik dan menarik??
# Jadikanlah Ghadhdul Bashar (menundukkan pandangan) sebagai "hiasan mata" anda, nescaya akan semakin bening dan jernih.
# Oleskan "lipstik kejujuran" pada bibir anda, nescaya akan semakin manis.
# Gunakanlah "pemerah pipi" anda dengan kosmetik yang terbuat dari rasa malu yang dibuat dari salon Iman.
# Pakailah "sabun Istighfar" yang menghilangkan semua dosa dan kesalahan yang anda lakukan.
# Rawatlah rambut anda dengan "Selendang Islami" yang akan menghilangkan kelemumur pandangan lelaki yang merbahayakan.
# Hiasilah kedua tangan anda dengan gelang Tawadhu' dan jari-jari anda dengan cincin Ukhuwwah.
# Sebaik-baiknya kalung anda adalah kalung "kesucian".
# Bedaklah wajah anda dengan "air Wudhu" nescaya akan bercahaya di akhirat.
*petikan dari e-mel yg dikirimkan oleh seorg sahabat
#Wahai muslimah sejati:..peliharalah dirimu ibarat sebutir mutiara yang sukar dimiliki..seindah hiasan dunia adalah WANITA SOLEHAH...

Sunday, January 3, 2010

SETIAP DETIK UMUR PERGI..RENUNG2KAN....ORANG YANG CERDIK ADALAH ORANG YANG SENTIASA MENGINGATI MATI..IANYA PASTI TIBA..


Setiap detik umur kita pergi,
Pergi tidak akan kembali lagi,
Setiap nafas turun naik mengurangkan lagi,
Dari detik ke minit, dari minit ke saat....
Dia bertambah laju pergi,

Dihakis lagi umur kita,
tanpa kita sedari,
Dari saat ke hari, speed kelajuannya bertambah lagi,
Lagi cepat umur kita yang pergi....

Dari hari ke minggu,
makin jauh umur kita pergi,
Yang pergi itu tidak berganti,Yang pergi tetap pergi,
yang datang mengurangkan lagi,

Dari minggu ke bulan,
bertambah laju umur kita lari....
Lari tidak akan bertemu lagi,
Yang lari tetap lari, tidak kembali,

Dari bulan ke tahun,
Oh makin jauh dia pergi....
Dari tahun ke tahun pacuannya terlalu laju,
Begitulah umur kita pergi,

setiap detik dia luak,Kita merasa umur kita bertambah lagi,
Luak, terus luak, kurang terus kurang,
Kita merasa umur kita bertambah panjang....
Kita pun berangan-angan panjang,
Kerana merasakan hidup panjang lagi.

Tiba-tiba MATI...
Di waktu itu terbeliak biji mata,
Bekalan yang dibawa tiada,
Menyesal sepanjang masa, tidak berkesudahannya.









Saturday, January 2, 2010

HAKIKAT PENYAKIT RIYA'


Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6 yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak."

Pengertian riak
Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia.


Perkara yang diriakkan oleh manusia;

1. Riak dari segi badan
Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.


2. Riak pada pakaian
Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.


3. Riak dengan perkataan
Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.


4. Riak pada amalan
Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.


5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut
Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.


Peringkat Riak:

1. Riak Akbar
Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.


2. Riak Asghar
Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.


3. Riak Jali (yang terang)
Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.


4. Riak Khafi (yang tersembunyi)
Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.


Punca Riak
Sebab-sebab yang boleh membawa kepada penyakit riak ini antaranya ialah;


1. Sifat suka dipuji oleh orang lain.
Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.


2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain.
Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.


3. Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian.
Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.



Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit.

Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.

2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.

4. Menanamkan di dalam diri bahawa melakukan sesuatu perkara kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu patut dijauhkan.

5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.

6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.

Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnyaperasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.

Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi, jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.

NOTE: semoga setiap amalan yang kita lakukan adalah ikhlas semata-mata untuk mendapat keredhaan ALLAH TAALA...selamat beramal dan semoga kita semua dijauhkan dari penyakit yang tersembunyi dan amat berbahaya ini...sekian wassalam..